PUTRAJAYA – Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak 1 April lalu didapati semakin baik dari hari ke hari, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad.
Beliau berkata negara lain memerlukan masa untuk stabil.
“Sebagai contoh Australia memerlukan setahun, Singapura lebih lapan bulan. Negara Asia dan Latin memerlukan masa antara setahun hingga 18 bulan untuk pelaksanaan GST stabil di negara masing-masing.
“Di Malaysia pada hari kelapan, saya dapati GST bertambah baik,” katanya pada sidang media bersama Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk T.Subromaniam di Kementerian Kewangan di sini Khamis.
Katanya walaupun terdapat sedikit masalah pada peringkat permulaan, pihak Kastam dan KPDNKK sentiasa bekerjasama dengan agensi lain untuk mengambil tindakan susulan.
“Ini tidak bermakna KPDNKK selesa dengan keadaan itu. Tugas dan tanggungjawab kementerian adalah memastikan pelaksanaan GST memberi impak yang positif bukan sahaja kepada pengguna tetapi kepada peniaga itu sendiri. Ini adalah hasrat dan tujuan kerajaan,” kata Alias.
Mengenai caj perkhidmatan, beliau berkata lapan notis dikeluarkan semasa 141 pemeriksaan berkaitan caj perkhidmatan dijalankan di seluruh negara semalam.
“Pengguna yang tidak berpuas hati dengan perniagaan yang mengenakan caj perkhidmatan boleh membuat aduan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia di bawah KPDNKK. Pengguna yang sudah bayar caj perkhidmatan pun boleh mengadu,” katanya.
Beliau berkata premis perniagaan yang mengenakan caj perkhidmatan perlu menjelaskan asas mereka mengenakan caj perkhidmatan.
“Dalam semangat perjanjian bersama antara majikan dan pekerja, caj perkhidmatan perlu sampai kepada pekerja,” katanya.
Alias berkata jumlah kumulatif aduan berkaitan antipencatutan GST yang diterima KPDNKK bermula 1 sehingga 8 April adalah sebanyak 3,641 aduan.
Sementara itu, Subromaniam ketika menyentuh mengenai isu GST ke atas kad tambah nilai prabayar telefon bimbit, berkata pihak Kastam akan mengadakan pertemuan dengan syarikat telekomunikasi untuk membincang dan mencari penyelesaian berhubung isu itu.
Beliau ditanya tentang kedai yang tidak berdaftar GST tetapi mengenakan GST ke atas kad tambah nilai prabayar yang dijual mereka. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=HNz9Ik-ne3g

