KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta pihak polis segera membebaskan beberapa aktivitis dan pemimpin Pakatan Rakyat yang ditahan pasukan itu.
Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh mendakwa, penahanan tersebut merupakan satu tindakan salah guna kuasa oleh pihak polis bagi menyekat suara mereka.
“PKR mengecam penahanan Rafizi Ramli, Chang Lih Kang, Tan Kar Hing, Mat Sabu, Hishamuddin Rais, Michael Tamil AL, Gan Zhi Mou, Chee Chu Sang and Yong Ming Chong atas kaitan dengan himpunan ‪#‎KitaLawan‬ hari ini.
“Penahanan terbaru ini berunsur penahanan pencegahan untuk menyekat suara perubahan yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran yang ingin dibawa melalui perhimpunan dan tunjuk perasaan secara aman.
“PKR mendesak pihak polis membebaskan semua yang ditahan tanpa tempoh reman,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syed Ibrahim mendakwa, tindakan bersifat punitif atau menghukum oleh pihak polis itu tidak boleh dijadikan alasan dan disalahgunakan pada setiap masa.
Portal propembangkang semalam malaporkan, Hishamuddin ditahan oleh beberapa lelaki yang menunggang motosikal yang menariknya masuk ke dalam kereta berwarna perak di Dataran Merdeka.
Mat Sabu pula dilapor ditahan di sebuah restoran di Pulau Pinang oleh polis dari Bukit Aman lengkap dengan ski mask dan senjata ketika sedang minum pada waktu malam. – MYNEWSHUB.cc

