
PEMERGIAN Datuk Haji Hasbullah Awang pada 12 Februari lalu pastinya amat dirasai ramai peminat sukan tanah air yang tentunya terus merindui suara ‘emas’ beliau ketika membuat sebarang ulasan acara sukan.
Beliau yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung setelah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 4 Februari dianggap sebagai legenda ikon pengulas sukan sepanjang zaman tanah air.
Sempena lebih sebulan dunia sukan negara kita kehilangan insan istimewa ini, stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan sebuah dokumentari khas ‘Hasbullah Awang’ menerusi TV1 pada Jumaat, 20 Mac ini.
Program padat 30 minit itu akan disiarkan pada pukul 10.30 malam selepas slot Dunia Jam 10 yang menceritakan secara terperinci kisah eksklusif di sebalik tokoh berpengalaman ini mewarnai bidang pengulasan arena sukan tempatan.
Hasbullah berkhidmat di RTM bermula kerjaya pada 1974 sebagai pembantu siaran atau dalam bahasa mudah iaitu juruhebah Radio Malaysia Kuantan (kini Pahang FM) selama enam tahun sebelum berpindah ke Angkasapuri.
Di ibu negara, allahyarham yang berasal dari Teluk Intan, Perak; pernah bertugas di Radio 1 (kini Nasional FM), namun bakatnya mula menyerlah melalui slot Arena Sukan yang popular dengan tagline ‘Majulah Sukan Untuk Negara’.
Beliau berhijrah ke stesen TV3 bagi menjadi pengacara Malaysia Hari Ini dengan gelaran Mat Teropong pada 1992 bersama hos waktu itu, Aziz Desa sebelum kemudian kembali semula ke RTM pada 1994.
Allahyarham pernah menjadi pengulas Olimpik di Seoul, Korea Selatan (1988); Barcelona, Sepanyol (1992); Atlanta, Amerika Syarikat (1996); Sydney, Australia (2000); Athens, Greece (2004); Beijing, China (2008); dan London, Britain (2012).
Pengulas veteran ini yang menyertai Astro Arena pada 2014; menemui Ilahi pada usia 63 tahun, serta meninggalkan seorang balu, Datin Hazida Alang Ahmad, 58 tahun; selain empat orang anak dan tujuh cucu. – Agensi

