• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Monday, June 29, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Kes Pinda Laporan Audit 1MDB Ditangguh, Peguam Utama Demam

oleh AK-47
30/05/2022
dalam Terkini, Utama & Sensasi
0
Share on FacebookShare on Twitter

KUALA LUMPUR – Prosiding bagi mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda Kandasamy sebagai saksi dalam perbicaraan kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan ke hari Jumaat, apabila peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak sihat.

Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram

Seorang lagi peguam Najib, Rahmat Hazlan memberitahu Mahkamah Tinggi pada Isnin bahawa Shafee demam dan sakit tekak.

“Apabila dia (Shafee) hubungi saya pagi ini, suaranya seakan-akan ‘Sean Connery’. Dia belum ke klinik lagi, tapi akan ke sana nanti, dan dia akan hantar sijil cuti sakit (MC) ke mahkamah apabila dia memperolehnya nanti,” kata Rahmat.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang nampak tertarik dengan penerangan Rahmat berkata, Connery bukanlah contoh yang baik kerana pelakon Hollywood itu telah meninggal dunia.

“Saya akan tangguhkan prosiding hari ini dan berharap Tan Sri (Shafee) pulih segera,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata, dalam keadaan sedemikian, pihak pendakwaan tidak membantah terhadap penangguhan itu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan Jumaat ini untuk mendengar hujah lisan kedua-dua pihak berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil orang yang dituduh bersama Najib, yakni Arul Kanda, sebagai saksi mereka.

Najib dan Arul Kanda yang merupakan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB hadir dalam prosiding pada Isnin.

Menurut jadual asal, Mahkamah Tinggi menetapkan Isnin untuk mendengar permohonan di bawah Seksyen 63 Akta 2009 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memanggil Arul Kanda bagi memberi keterangan sebagai saksi terhadap tertuduh bersamanya dalam kes itu, Najib.

Seksyen itu menyatakan bahawa dalam keadaan dua atau lebih orang didakwa melakukan kesalahan di bawah undang-undang yang sama ini, mahkamah mungkin memerlukan seorang atau lebih daripada mereka untuk memberikan keterangan sebagai saksi untuk pendakwaan, jika permohonan bertulis dibuat oleh pendakwa raya.

Pada 20 Mei lalu, ketua pihak pendakwaan kes berkenaan Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah bahawa Arul Kanda mungkin mempunyai maklumat yang berkaitan dengan urusan dengan Najib, yang akan memberi kesan terhadap keputusan pendakwaan ke atas Najib, yang bekas menteri kewangan.

Najib, 68, bekas perdana menteri, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-Sinar Harian

Tags: 1MDBdemamKes Pinda Laporan Audit 1MDBPeguamPeguam Utamatangguh
Share197Tweet123SendShare

Related Posts

Sheikh Umar Beri Peringatan, UMNO Johor Masih Sokong Najib Razak

Sheikh Umar Beri Peringatan, UMNO Johor Masih Sokong Najib Razak

18/06/2026
0

JOHOR BAHRU - Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali memberi peringatan kepada rakyat Johor bahawa UMNO Johor masih...

PRN Johor: Sheikh Umar Dikritik Bangkit Semula Isu 1MDB

PRN Johor: Sheikh Umar Dikritik Bangkit Semula Isu 1MDB

16/06/2026
0

JOHOR BAHRU – Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali menerima kritikan netizen selepas membangkitkan semula isu 1MDB menjelang...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd