SHAH ALAM: Senjata digunakan penjenayah yang disyaki merompak dan menembak mati pengawal keselamatan dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Puchong Prima semalam, dipercayai dicuri daripada seorang anggota polis yang dibunuh pada 2017.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata pistol jenis Walther P99 itu dipercayai dirampas daripada Lans Koperal Valentino Mesa, 29, yang ditembak mati di Pondok Polis Komuniti Pinggiran USJ pada 31 Ogos 2017.
“Siasatan mendapati pistol berkenaan dirampas daripada anggota kita yang meninggal dunia selepas diserang ketika bertugas.
“Dengan tertangkapnya suspek warga tempatan berusia 38 tahun itu, kita dapat merampas kembali pistol berkenaan.
“Kita percaya suspek terbabit dalam enam kes samun bersenjata api yang masih dalam siasatan dan dia dipercayai bergerak secara solo,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.
Pada 31 Ogos 2017, Valentino ditemui meninggal dunia oleh anggota Unit Peronda MPV yang pulang daripada rondaan pada jam 3.25 pagi dengan kesan tembakan pada badan di pondok polis terbabit.
Arjunaidi berkata, suspek dipercayai melepaskan tiga das tembakan dan mengenai dua pengawal syarikat keselamatan yang memindahkan wang berjumlah lebih RM1 juta dari bank berkenaan ke van keselamatan.
Katanya, satu das tembakan mengenai belakang seorang pengawal keselamatan yang maut dalam kejadian itu.
“Dua das tembakan lagi dilepaskan yang mana satu das mengenai tulang rusuk seorang lagi pengawal keselamatan, yang kini mendapat rawatan di Hospital Serdang.
“Suspek melarikan wang dianggar berjumlah RM500,000 dan ketika ditahan di hadapan sebuah bank di Seksyen 20, polis merampas wang tunai RM350,000, sepucuk pistol, 10 butir peluru dan dua kelopak peluru,” katanya.
Katanya, suspek direman seminggu bermula hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjatapi Lebih Berat 1971.
BHonline-

