JOHOR BAHRU : Barisan Nasional (BN) dan UMNO dijangka berdepan kempen berbaur fitnah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa modus operandi sama mungkin digunakan parti pesaing dalam kempen nanti dengan menjadikan pemimpin BN sebagai sasaran untuk mewujudkan kebencian rakyat.
Presiden UMNO itu berkata, kempen sebegitu akan bergerak dengan “full throttle” untuk PRN Johor, kerana parti pesaing begitu terdesak untuk menyekat kemaraan BN.
“Daripada fitnah berhubung teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Genting Hong Kong, dadah sehingga kepada propaganda botol minuman, percayalah itu cuma mukadimah.
“Tentunya rakyat khususnya Bangsa Johor akan dihidangkan dengan lebih banyak fitnah dan propaganda jahat.
“Namun mungkin ada hikmah di sebaliknya kali ini kerana menjadi bukti nyata nilai politik sebenar mereka yang menghembuskan penipuan dan pembohongan.
“Rakyat kini dapat mengetahui dan memahami dengan lebih jelas yang mana intan atau kaca. Yang mana kebenaran dan yang mana kebatilan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid berkata, PRN Johor mungkin menjadi medan utama kepada parti pesaing untuk menyekat kebangkitan dan kemaraan BN.
“Bagaimanapun muslihat mereka pastinya gagal sekiranya Bangsa Johor berbilang kaum dan agama bertekad untuk bermuafakat.
“Johor bermuafakat untuk mengembalikan kemakmuran, kesejahteraan dan kestabilan lalu yang telah dirampas oleh fitnah dan tipu daya pada 9 Mei 2018,” katanya.
-Berita Harian

