KANGAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengajak rakyat pelbagai kaum di negara ini sama-sama memelihara dan menyayangi perpaduan yang sudah sekian lama disemai dan dibina.
Baginda mahu semua pihak memastikan keharmonian dan keamanan sentiasa subur walaupun rakyat Malaysia berlainan dari segi agama, bangsa dan bahasa namun ternyata semuanya saling melengkapi.
“Jadikanlah setiap titik perbezaan itu sebagai medium untuk mencapai persefahaman dan persamaan. Semoga kita terus membudayakan perpaduan dan meraikan kepelbagaian, Insya-Allah,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis ‘Malam Anugerah Nusa Bangsa Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail 2015’ anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis di sini malam tadi.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Hamdan Bahari, Ketua Pengarah JPNIN, L.Gandesan, timbalannya, Halim Omar dan Pengarah JPNIN Negeri Perlis, Rohai Zahar Nedi.
Baginda yang juga Pengerusi YTSP Perlis bertitah rakyat di negara ini perlu mengamalkan sikap penuh bertanggungjawab sebagai seorang warga negara dan juga patuh terhadap perintah agama Islam mahupun anutan masing-masing.
Titah baginda, rakyat juga sewajarnya sentiasa memperkasakan diri daripada sebarang ‘bunga-bunga’ perpecahan atau bijak bertindak terhadap apa juga bentuk cubaan merungkai keharmonian masyarakat dan negara dan berusaha memperkukuhkan jati diri sesama mereka supaya tidak perlu ada sebarang campur tangan mana-mana pihak luar.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah baginda tidak mahu ada mana-mana pihak mensensasikan sesuatu ‘perkara’ atas dasar apa sekalipun yang boleh memporak- perandakan kestabilan negara.
Di majlis itu, Sekolah Menengah Datuk Sheikh Ahmad Arau memenangi anugerah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagi kategori sekolah dan menerima wang tunai RM3,000 manakala adik Daniel Teang Yi Hang memenangi kategori individu dengan hadiah wang tunai RM2,000. JPNIN turut menyumbangkan RM30,000 kepada YTSP Perlis.
Pada sebelah petang semalam, baginda turut berkenan menyertai ‘Program Kayuhan Ceria Harmoni Diraja’ di sekitar bandar Kangar bermula di perkarangan Masjid Tuanku Syed Putra dan berakhir di Masjid Alwi yang dianjurkan JPNIN dengan kerjasama Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) dan TTG Perlis Cycling Club. – BERNAMA
