PUTRAJAYA : Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan sudah menerima penyelesaian berjumlah RM340.92 juta (AS$80 juta) daripada KPMG ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset.
Penyelesaian itu adalah susulan daripada pengumuman pada 16 September 2021 di mana KPMG bersetuju untuk menyelesaikan saman sivil yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadapnya.
Sehingga kini, Akaun Amanah di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara Malaysia telah menerima sejumlah RM19.138 bilion berhubung skandal kewangan 1MDB.
Dana itu telah atau akan digunakan untuk menyelesaikan hutang tertunggak 1MDB.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan telah membayar balik RM13.3 bilion hutang 1MDB.
“Pada 31 Disember 2021, hutang terkumpul 1MDB yang terdiri daripada prinsipal dan kupon/keuntungan untuk bon dan Sukuk adalah berjumlah RM38.81 bilion.
“Walaubagaimanapun, baki semasa Akaun Amanah adalah mencukupi untuk membayar jumlah prinsipal bon untuk 2022 sahaja.
“Apabila semua dana Akaun Amanah telah digunakan, kerajaan akan terus menanggung obligasi untuk membayar baki hutang 1MDB, yang penerbitannya disokong oleh Jaminan dan Surat Sokongan
Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul berkata, melangkah ke hadapan, kerajaan kekal komited dalam usaha pemulihan aset 1MDB.
Beliau berkata, kerajaan juga akan sentiasa memastikan peruntukan yang mencukupi untuk menyelesaikan hutang 1MDB bagi menguruskan beban kewangan negara yang diakibatkan oleh entiti ini.
“MOF ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti (SC), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian ini,” katanya.
-Berita Harian

