PUTRAJAYA – Selangor akan menerima 4,008,710 dos vaksin bulan depan, sekali gus menjadikannya jumlah tertinggi pernah diterima mana-mana negeri.
EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan serta Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan hal berkenaan menerusi satu ciapan di Twitternya.
“Alhamdulillah, saya menghadiri mesyuarat CITF (Badan Bertindak Imunisasi COVID-19) pusat pagi ini, Selangor akan dapat 4,008,710 dos vaksin untuk bulan Julai. Bekalan yang tertinggi.
“Terima kasih YB Menteri (Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin), saya akan berada di dalam mesyuarat yang diadakan tanpa gagal.
“Alhamdulillah, hidung anda tak panjang tadi. Normal. Mohon maaf dunia akhirat,” katanya menerusi Twitter, hari ini.
Menerusi ciapan berkenaan, Dr Siti Mariah turut berkongsi data pemberian jumlah vaksin yang akan diterima oleh negeri lain antaranya Sarawak menerima sebanyak 2,389,582 dos; Kuala Lumpur dan Putrajaya (1,614,421); Johor (950,618); Sabah (675,032) dan Perak (688,126).
Sebelum ini, Dr Siti Mariah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang menyelar kenyataan Khairy bahawa Selangor tidak mempunyai keupayaan vaksinasi.
“Nampak benar menteri tak tahu masalah di bawah. Selangor ada kapasiti untuk buat lebih. Kalau buat begitu, selepas beberapa hari, ada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang kena tutup sementara.
“Jangan berbohong dengan mengatakan bahawa ada bekalan cukup. Berlaku jujur atau hidung anda akan jadi lebih panjang,” katanya. – BH Online

