KUALA LUMPUR – Selangor yang dikenal pasti menjadi penyumbang utama kes harian COVID-19 diunjur mencapai imuniti kelompok menjelang September ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata unjuran itu berupaya dicapai apabila kadar harian pemberian suntikan vaksin di negeri terbabit bakal ditingkatkan kepada 135,000 dos bermula bulan depan.
Katanya, prestasi kadar inokulasi itu seterusnya diyakini mampu ditingkatkan kepada 165,000 dos sehari, iaitu pertambahan 22.22 peratus menjelang Ogos.
“Ini bermakna Selangor mampu memvaksinasi 80 peratus daripada populasi dewasa (berusia 18 tahun ke atas) menjelang September,” katanya menerusi Twitter, hari ini.
Berdasarkan perangkaan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) setakat semalam, jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin ke seluruh negara ialah 4,688,233 dos, dengan 3,275,194 dos meliputi dos pertama dan 1,413,039 dos kedua.
Secara perbandingan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masih merekodkan kadar tertinggi pemberian suntikan vaksin dengan 700,566 dos, diikuti Selangor (667,743), Sarawak (515,596), Johor (444,971), Perak (376,177) dan Sabah (366,453).
Statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan setakat semalam pula menyaksikan Selangor menyumbang 32.68 peratus daripada keseluruhan 662,457 kes positif yang direkodkan di seluruh negara, diikuti Kuala Lumpur (10.22 peratus atau 67,719 kes), Sabah (10.01 peratus atau 66,316 kes). – BH Online

