PUTRAJAYA – Kerajaan mungkin menilai semula dasar pendaftaran untuk mendapatkan vaksin COVID-19 secara sukarela ketika ini pada Julai depan, bagi menjamin imuniti kelompok terhadap wabak itu dapat dicapai,
Ia susulan pendaftaran mendapatkan vaksin yang masih rendah ketika ini, iaitu sebanyak 7,906,913 atau 32.6 peratus daripada populasi negara berusia atas 18 tahun.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata penilaian terhadap pendaftaran untuk mendapatkan vaksin boleh dilakukan pada Julai ini berikutan ketika itu negara sudah mulai menerima vaksin pada kuantiti mencecah jutaan dos.
Ketika ini, katanya, permintaan terhadap vaksin mengatasi penawaran ubatan itu, selain masih diterima secara berperingkat.
“Jadual penghantaran vaksin akan meningkat dengan banyak menjelang Julai.
“Justeru, jika kita melihat penawaran melebihi permintaan iaitu sekitar Julai dan Ogos apabila kita menerima berjuta-juta dos setiap bulan, kita boleh mempertimbangkan pilihan lain untuk meningkatkan jumlah pendaftaran.
“Ketika ini, kita masih boleh terima untuk terus menggalakkan orang ramai mendaftar secara sukarela, namun pada satu ketika mungkin Julai, kita perlu memikirkan semula dasar sedia ada,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.
Yang turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan kerajaan menilai semula dasar sedia ada untuk meningkatkan jumlah pendaftaran bagi mendapatkan vaksin COVID-19 di negara ini.
Beliau menegaskan, kadar pemberian vaksin di negara ini bergantung kepada jadual penghantaran vaksin oleh pengeluarnya dan kebanyakan vaksin akan tiba sekitar Julai.
Justeru, katanya, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dalam Fasa Pertama ketika ini, masih menepati sasarannya kerana penghantaran dos vaksin belum diperoleh sepenuhnya. – BH Online

