KUALA LUMPUR – Prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina semalam, adalah SOP ketat sama seperti yang dilaksanakan pada setiap perayaan sebelum ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan setiap SOP perayaan bukan Islam yang diumumkan, adalah hasil pembentangan dibuat oleh Kementerian Perpaduan Negara dan mendapat persetujuan daripada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Sebelum membentangkan kepada Sidang Khas MKN, Kementerian Perpaduan Negara terlebih dahulu wajib mengadakan perbincangan dan mendapat persetujuan bersama wakil setiap pertubuhan keagamaan dan persatuan kebudayaan kaum-kaum terbabit.
“Kemudian, kementerian akan mengangkat hasil perbincangan itu untuk dibincangkan semula bersama MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya bagi menilai dari segi risiko kesihatan.
“Selepas keputusan antara Kementerian Perpaduan Negara, KKM dan MKN dibuat, barulah kementerian akan mencadangkan kepada Sidang Khas MKN untuk diluluskan dan selepas diluluskan barulah SOP terbabit diumumkan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini. – BH Online

