KUALA LUMPUR – “Kita belum gagal,” kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai tuduhan sesetengah pihak bahawa kerajaan gagal memerangi Covid-19 di negara ini gagal susulan peningkatan kes kebelakangan ini.
Katanya, ia terbukti melalui hasil kajian Lowy Institute iaitu sebuah badan pemikir berpusat di Sydney, Australia terhadap Malaysia berkenaan kecekapan menguruskan Covid-19.
Menurutnya, Malaysia berada di kedudukan ke-16 daripada 98 buah negara, mengatasi beberapa negara terkemuka di Asia antaranya Jepun dan Korea Selatan dengan skor diberikan ialah 71 peratus.
“Kita pernah berjaya sekali tetapi kita belum gagal,” katanya pada sidang media harian, hari ini.
Beliau turut menjelaskan kekeliruan orang ramai mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, 2.0 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.
Katanya, ketika PKP 1.0 tahun lalu, kerajaan melaksanakan penutupan sepenuhnya perniagaan, ekonomi dan sektor sosial.
“Bagi PKP kedua, kita halang pergerakan, tiada rentas daerah dan negeri. Bagaimanapun kita beri sedikit kelonggaran iaitu membuka sektor ekonomi khususnya yang berkaitan dengan mikro ekonomi atau berkaitan peniaga kecil yang tujuannya adalah untuk memberikan ruang kepada peniaga kecil untuk mencari rezeki. Kita tidak buka sektor atau aktiviti sosial.
“Bezanya PKP 1.0 kita tutup semua, PKP 2.0 kita buka ekonomi tetapi tidak sepenuhnya dan tidak membuka sektor sosial,” katanya.
Ismail Sabri berkata, bagi PKPB pula kerajaan membuka semua sektor ekonomi dan sebahagian daripada aktiviti sosial dengan menghadkan jumlah kehadiran.
“Sebagai contoh perjumpaan di dalam dewan misalnya kita menetapkan jumlah tertentu, kita hadkan dari segi jumlah pergerakan.
“Itu antara perbezaan jelas antara PKP 1.0, PKP 2.0 dan PKPB,” katanya. – myMetro Online

