KLANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam insiden tembakan di beberapa negeri baru-baru ini dan usaha menjejaki mereka sedang giat dijalankan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata mereka telah bertindak menghilangkan diri apabila mengetahui polis telah mengenal pasti mereka.
“Sekarang, polis sedang giat menjejaki kumpulan itu untuk tindakan selanjutnya seterusnya didakwa,” katanya kepada pemberita dalam sidang media Ops Cantas Khas Selangor, di sini hari ini.
Beliau berkata penglibatan kumpulan kongsi gelap dalam kes tembak menembak bukan perkara baharu, malah polis sentiasa mengemas kini kegiatan mereka.
Pada Isnin lepas, tiga lelaki ditembak secara berasingan di tiga negeri, dengan insiden pertama di Sungai Petani pada awal pagi mengakibatkan seorang pemilik premis mencuci kereta maut manakala di Kajang, Selangor Timbalan Ketua Pemuda MIC Bahagian Hulu Langat cedera parah selepas terkena enam das tembakan di persimpangan lampu isyarat Jalan Reko dalam kejadian pada sebelah tengah hari.
Pada malamnya pula, dalam kejadian di Jalan Scotland Pulau Pinang, seorang pemilik restoran maut setelah ditembak dari jarak dekat.
Pada Rabu lepas, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan kes tembakan di Sungai Petani dan Pulau Pinang mempunyai kaitan kerana kedua-dua mangsa merupakan anggota kongsi gelap daripada geng sama.
Sementara itu, Mohmad keika ditanya mengenai penggunaan senjata api yang semakin berleluasa kini, berkata ia disebabkan berlakunya pembolosan serta penyeludupan oleh sindiket tertentu di sempadan negara khususnya di utara Semenanjung.
Oleh itu, polis mengambil langkah menubuhkan Unit Risikan Sempadan pada tahun lepas bagi mengenal pasti kumpulan sindiket yang terlibat dan bagi mengekang pengagihan senjata api haram kepada kumpulan kongsi gelap atau individu tertentu di negara ini, katanya.
Mohmad berkata usaha membanteras penyeludupan senjata api turut memerlukan kerjasama daripada agensi penguatkuasaan lain yang menjaga sempadan negara selain orang awam dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung kegiatan tersebut.
“Pembanterasan penyeludupan senjata api ini bukan terletak hanya pada polis, kerana agensi penguatkuasa yang jaga sempadan ini banyak, antaranya Jabatan Kastam, Angkatan Tentera, Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), Pasukan Gerakan Am dan pelbagai lagi.
“Ia memerlukan komitmen semua agensi. Jika semua pihak dapat memainkan peranan dengan melihat penyeludupan senjata api beri ancaman kepada negara, beri maklumat kepada kita dan kita akan berusaha untuk ambil tindakan dengan lebih serius,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai kegiatan Ops Cantas oleh pasukan polis yang dilihat semakin berkurangan, Mohmad berkata operasi itu masih diatur gerakannya dari semasa ke semasa dan akan terus dilakukan mengikut keperluan tertentu.
Mengulas mengenai Ops Cantas Khas Selangor, Mohmad berkata operasi yang dijalankan selama dua minggu bermula 20 Feb lepas hingga semalam telah mencatat penurunan jenayah indeks sebanyak 18 peratus iaitu daripada 1,451 kes kepada 1,177 kes untuk tempoh dua bulan lepas.
Katanya, dalam operasi berkenaan, sebanyak 28,690 individu telah diperiksa dan 1,649 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah antaranya penyalahgunaan dadah, perjudian, maksiat dan sebagainya.
Selain itu katanya, menerusi Ops Cantas Khas Selangor juga, sebanyak 27 kes fail telah dibuka bagi membendung kegiatan kongsi gelap dan penjenayah tegar yang berleluasa di negeri berkenaan. – BERNAMA

