MELAKA – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,487,795.46 juta bagi tahun 2014 kepada Pusat Zakat Melaka (PZM).
Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah berkata pembayaran zakat itu mencatat peningkatan sebanyak 6.5 peratus atau RM90,832.86 berbanding RM1,396,962.60 juta pada tahun sebelumnya.
“Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun 2014 ialah RM49.87 juta berbanding RM46.29 juta pada 2013,” katanya dalam kenyataan selepas Majlis Penyerahan Zakat Korporat Negeri Melaka di sini hari ini.
Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob menerima zakat tersebut bagi pihak PZM. Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.
Beliau berkata Melaka merupakan negeri kelima selepas Johor Baharu, Pulau Pinang, Sabah dan Negeri sembilan dalam siri jelajah penyerahan zakat perniagaan TH tahun ini.
Johan berkata selain pusat zakat, TH turut mengagihkan zakat secara terus kepada golongan asnaf di seluruh negara melalui program tanggungjawab sosial korporat sepanjang tahun.
Sementara itu, Pengurus Besar PZM Azmi Hussain berkata pihaknya telah mengutip sebanyak RM9.98 juta zakat harta sejak Januari sehingga semalam, meningkat 12 peratus berbanding RM8.31 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Katanya bilangan pembayar zakat turut meningkat kira-kira 57 peratus atau 8,806 orang kepada 24,132 orang berbanding 15,326 orang dalam tempoh sama tahun lepas.
“Zakat pendapatan menunjukkan kutipan tertinggi iaitu RM4.97 juta berbanding RM3.37 juta dalam tempoh sama tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata Majlis Agama Islam Melaka telah mengagihkan zakat berjumlah RM58 juta kepada lapan golongan asnaf di negeri ini pada tahun lepas.
Pada majlis itu, sebanyak 11 agensi dan syarikat menyerahkan zakat korporat bagi tahun lepas dengan jumlah keseluruhan RM2.16 juta.
Agensi dan syarikat itu ialah Lembaga Tabung Haji, Telekom Malaysia Bhd, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), RA Talang Enterprise, MIDF Property Bhd, Koperasi Pekerja-pekerja Melayu Melaka Bhd, Perbadanan Melaka Holdings Sdn Bhd, PM Media & Event Sdn Bhd dan PM Corporate Services Sdn Bhd. – BERNAMA

