NEW YORK – Goldman Sachs Group Inc dan kerajaan Malaysia memeterai perjanjian bagi memuktamadkan penyelesaian skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bernilai AS$3.9 bilion (RM16.3 bilion).
Bank Amerika Syarikat (AS) itu, yang memeterai perjanjian dasar pada 24 Julai lalu, mengesahkan perjanjian formal berdasarkan peraturan yang ditandatangani di New York pada Selasa.
Firma itu perlu membayar dalam bentuk tunai berjumlah AS$2.5 bilion (RM10.5 bilion) kepada Malaysia dalam tempoh 10 hari, demikian menurut sumber yang mempunyai pengetahuan rapat mengenai perkara itu.
Menurut sumber yang enggan identitinya didedahkan kerana maklumat yang disalurkan adalah sulit, perjanjian itu membuktikan langkah besar diambil untuk menyelesaikan skandal berkaitan firma pelaburan kerajaan Malaysia yang menjadi tumpuan siasatan global membabitkan rasuah dan pengubahan wang haram.
Perjanjian yang diumumkan bulan lalu memerlukan supaya Goldman Sachs membayar AS$2.5 bilion (RM10.5 bilion), sambil memberi jaminan untuk mengembalikan aset 1MDB bernilai AS$1.4 bilion (RM5.9 bilion) yang disita oleh pihak berkuasa di seluruh dunia, sebagai pertukaran untuk Malaysia menggugurkan pertuduhan ke atas bank itu.
Perjanjian itu membantu bank berkenaan melangkah keluar daripada skandal terburuk sejak krisis kewangan, manakala Malaysia mendapat semula sejumlah AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) yang didakwa hilang daripada 1MDB ketika Malaysia memerlukan dana untuk melaksanakan pakej rangsangan berskala besar.
Hampir sepanjang dekad lalu, 1MDB dilabelkan sebagai jenayah paling berani di dunia apabila konspirasi itu mencetuskan siasatan di Asia, AS dan Eropah.
Pihak berkuasa mengambil masa bertahun-tahun untuk mengesan dana didakwa disalurkan 1MDB kepada hasil seni dan hartanah mewah, kapal pelayaran mewah dan ironinya, filem Hollywood terkenal ‘The Wolf of Wall Street’ yang menonjolkan kisah era awal jenayah kewangan.
Kes terhadap bank itu bertumpu kepada usaha menjana AS$6.5 bilion (RM27.2 bilion) pada 2012 dan 2013 untuk dana pelaburan itu, yang kebanyakannya dikatakan diambil oleh beberapa individu dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri.
Kumpulan perbankan pelaburan Goldman, yang ketika itu diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya kini, David Solomon, memperoleh jualan bon yang luar biasa iaitu AS$600 juta (RM2.51 bilion).
Perjanjian itu tidak dapat menyelesaikan beberapa siasatan kerajaan dan pihak berkuasa lain berkaitan 1MDB, termasuk satu oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ). – Bloomberg

