KUALA PILAH – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini telah menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1.882 juta bagi tahun 2014 kepada Pusat Zakat Negeri Sembilan.
Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Timbalan Ketua Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah, menyampaikan zakat itu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di sini.
“Pembayaran zakat kepada Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan sebanyak 6.5 peratus atau RM114,282.24 berbanding RM1.767 juta pada tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini sejajar dengan prestasi dan pencapaian keseluruhan TH yang memberangsangkan tahun lalu,” ka Johan kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata Negeri Sembilan adalah negeri keempat selepas Johor, Pulau Pinang dan Sabah dalam siri jelajah penyerahan zakat perniagaan TH tahun ini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Pengarah TH Negeri Sembilan Mohamad Khairi Dasemin.
Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun 2014 adalah RM49.87 juta yang dibayar kepada pusat pungutan zakat di semua negeri di Malaysia.
Johan berkata selain pusat zakat, TH turut mengagihkan zakat secara terus kepada asnaf dalam program tanggungjawab sosial korporat sepanjang tahun.
Sementara itu, Johan menasihatkan semua rakyat Malaysia termasuk yang merancang untuk menunaikan haji dan umrah secara bersendirian, kumpulan kecil atau berbeg galas, supaya memahami peraturan visa Arab Saudi yang tidak mengeluarkan visa ibadat itu terus kepada pengunjung persendirian.
Katanya, visa haji diberi kepada TH manakala umrah kepada agensi pelancongan berlesen di negara ini. – BERNAMA

