PUTRAJAYA – Separuh daripada caj kuarantin hotel semua pelajar tajaan di luar negara yang tamat pengajian akan ditanggung oleh penaja masing-masing.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata manakala separuh lagi caj akan ditanggung oleh kerajaan.
“Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuat keputusan bermula 1 Jun ini, pelajar tajaan di luar negara yang tamat pengajian, pihak penaja bertanggungjawab menampung kos kuarantin selepas mereka pulang ke Malaysia.
“Jadi, separuh caj kuarantin pelajar terbabit akan ditanggung penaja masing-masing dan separuh lagi ditampung oleh kerajaan,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.
MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK
Ismail Sabri berkata, setakat ini, seramai 18,000 rakyat Malaysia di luar negara sudah mendaftar di pejabat kedutaan dan menandatangani surat aku janji untuk membayar caj kuarantin hotel sebanyak 50 peratus.
“Mereka yang sudah mendaftar termasuk pelajar yang tamat tempoh pengajian di luar negara dan perlu pulang ke tanah air.
“Memang ramai (pelajar) yang memohon supaya dikecualikan caj terbabit. Jadi kita mengambil keputusan supaya separuh kos ditanggung oleh penaja dan separuh lagi oleh kerajaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bermula 1 Jun ini, individu yang memasuki pintu masuk negara akan dikenakan caj kuarantin hotel.
Caj 100 peratus daripada kadar bayaran hotel dikenakan kepada bukan warganegara manakala 50 peratus bagi warganegara.

