GEORGE TOWN – Seorang pengawal keselamatan melepaskan lima das tembakan ke arah dua perompak yang melarikan wang tunai RM500,000 dari sebuah van keselamatan di hadapan sebuah bank di Bayan Baru, dekat sini hari ini.
Tembakan oleh pengawal keselamatan itu menyebabkan seorang daripada perompak itu cedera dan ditinggalkan rakannya yang ketika itu sedang menunggu lelaki terbabit di atas sebuah motosikal berhampiran van itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Mazlan Kesah berkata akibat takut terkena tembakan, lelaki terbabit hanya sempat melarikan satu karung berisi wang RM500,000 manakala satu lagi karung berisi wang RM300,000 tertinggal di tepi jalan.
“Lelaki yang menunggu di atas motosikal itu terus memecut laju meninggalkan rakannya yang membawa guni berisi duit itu apabila pengawal keselamatan berkenaan melepaskan tembakan.
“Rakannya yang cedera di kaki melarikan diri ke seberang jalan dan memasuki kawasan perumahan di situ.
Tembakan itu turut terkena cermin sebuah kereta di tempat letak kenderaan di hadapan bank berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sehubungan itu, polis melancarkan Ops Tutup di kawasan berkenaan dan Mazlan meminta kerjasama klinik dan hospital yang menerima pesakit yang cedera di kaki akibat ditembak agar menghubungi polis bagi membantu siasatan.
Mazlan berkata dalam kejadian 11 pagi itu, seorang lelaki bersenjatakan pistol menghampiri sebuah van keselamatan selepas tiga pengawal keselamatan mengambil wang dari sebuah bank di situ dan membuka pintu van untuk menyimpan guni berisi wang. Pemandu van menunggu di dalam van keselamatan itu.
“Suspek turut menendang kaki seorang pengawal keselamatan sebelum merampas guni berisi wang dan melarikan diri ke arah rakannya yang menunggu atas sebuah motosikal berhampiran van itu,” katanya.
Beliau berkata polis percaya dua lelaki yang memakai topi keledar penuh berumur dalam lingkungan 20-an itu mengekori van keselamatan itu dari sebuah bank lain berhampiran tempat kejadian.
Mazlan berkata polis akan mengambil keterangan empat pengawal keselamatan berkenaan dan beberapa pekerja bank yang bertugas ketika kejadian bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati mereka (pengawal keselamatan) mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan cuma kami sedang siasat mengapa van keselamatan itu diletakkan agak jauh dari bank sedangkan ia sepatutnya di hadapan (bank),” katanya. – BERNAMA

