
SINGAPURA – Sekali lagi buat tahun kedua berturut-turut, tinjauan yang dijalankan oleh majalah berpengaruh antarabangsa Economist menamakan Singapura kekal sebagai bandar global yang paling mahal untuk didiami.
Tinjauan unit penyelidikan majalah tersebut bertujuan untuk membantu syarikat-syarikat dari seluruh dunia meninjau kos penempatan semula bagi menanggung kakitangan ekspatriat yang dihantar bertugas di pelbagai negara asing.
Ia membuat perbandingan bagi kos sara hidup semasa dalam bentuk dolar Amerika Syarikat untuk 133 buah bandar raya di merata dunia, dengan menggunakan New York sebagai asas kepada tanda aras perbandingan standard.
Dalam segmen soal jawab laporan tersebut, Economist menarik perhatian bahawa naik turun matawang akan menjejaskan kos sara hidup antara beberapa bandar besar, meskipun paras harga barangan runcit kekal tidak berubah.
Sebagai contoh, kenaikan dolar Singapura berbanding matawang negara lain baru-baru ini sebenarnya telah mengurangkan kuasa membeli pengguna yang membawa matawang lain, sekali gus meningkatkan kos sara hidup di Singapura.
BACA : Harga Kereta Di Singapura Paling MAHAL Di Dunia
BACA : Jumlah Pelancong Ke Singapura Merosot 2014

BACA : Sampah Bersepah, Siapa Kata Rakyat Singapura Pembersih?
BACA : Ketika Jiran Berkabung, Singapura Meriah ‘Bergegar’ Rai 2015
Keperluan asas di Singapura juga 11 peratus lebih mahal berbanding di New York, contohnya harga pakaian yang disifatkan sebagai paling mahal, dengan harganya dianggarkan lebih 50 peratus lebih tinggi dibandingkan New York.
Kekukuhan dollar Singapura secara umumnya mengakibatkan harga barangan pengguna di negara itu setaraf Seoul, ibu kota Korea Selatan malah menyebabkan peniaga Singapura ‘mengeluh’ hilang ramai pelanggan dari Malaysia.
Bandar-bandar yang menduduki lima tangga teratas dalam tinjauan Economist tersebut kekal tidak berubah tahun ini, dengan Paris, Oslo, Zurich dan Sydney menduduki empat tangga teratas di belakang Singapura, selaku juara bertahan.
Dua bandar Asia turut termasuk dalam kelompok 10 bandar termahal di dunia iaitu Hong Kong, China tempat ke-9 dan Tokyo, Jepun di tangga ke-10 manakala Kuala Lumpur masih unggul sebagai antara bandar paling murah di dunia.
Berita ‘buruk’ ini menerima maklum balas luar biasa rakyat Singapura menerusi komen akhbar online dan laman sosial tempatan yang menyifatkan hidup di republik itu tidaklah sehebat mana pun di sebalik gah 50 tahun kemerdekaan kali ini. – Agensi

