KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 13 kertas siasatan berhubung penyebaran khabar angin dan berita tidak sahih mengenai penularan coronavirus 2019 (2019-nCoV) menerusi media sosial.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata daripada jumlah itu, tiga kertas siasatan sudah mendapat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara untuk didakwa di mahkamah.
“Kita dakwa satu kes di mahkamah di Kuala Lumpur pagi ini manakala dua lagi kes masing-masing di Sandakan dan Kuala Terengganu akan didakwa nanti.
“Sekarang tiada guna lagi beri nasihat, mereka yang didapati menularkan berita palsu akan berdepan tindakan undang-undang.
“Jika ada terima laporan lagi, polis akan menjalankan siasatan untuk membawa individu berkaitan ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 16 sempena Tahun Baharu Cina 2020 di Bukit Aman, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi PLUS Malaysia Bhd. (PLUS), Datuk Mohamad Nasir Ab Latif; Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias dan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.
Ditanya mengenai perkembangan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Mansor berkata, pihaknya masih menunggu ujian saringan air kencing kali kedua daripada pakar patologi.
“(Keputusan ujian air kencing membabitkan) ADUN Dengkil dalam masa terdekat. Mohon bersabar,” katanya.
Pada 12 Januari lalu, 17 individu termasuk ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah berusia antara 20 hingga 53 tahun ditahan dalam satu parti dadah di sebuah kondominium di Jalan Puchong. – BH Online

