KULIM – Dua lelaki maut dalam dua kemalangan berasingan melibatkan lima buah kenderaan di Lebuhraya Baling-Kulim dan Jalan Lunas-Padang Serai, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Abdullah Arshad berkata dalam nahas pertama berhampiran lampu isyarat di sekitar Kilang Pemasangan Kereta Inokom, Padang Meha, seorang lelaki terbunuh serta merta apabila kereta jenis Perodua Axia yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori kosong pada kira-kira pukul 11.46 pagi.
Menurut Abdullah, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulim yang diketuai Mohd Akmal Mohd Khairi bersama lima anggota mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan tersebut.
Mangsa yang memandu bersendirian datang dari arah Kulim ke Baling manakala lori tersebut dalam perjalanan dari arah Baling ke Kulim.
Sebuah Proton Wira yang membawa lima sekeluarga pula dikatakan telah terlanggar bahagian belakang lori berkenaan.
“Ini menyebabkan tiga daripada lima anggota keluarga dalam kereta tersebut mengalami cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kulim,” katanya.
Sementara itu dalam kes kedua, seorang pembonceng motosikal Mohammad Zulkifli Ramli, 23, maut apabila motosikal yang diboncengnya terbabit dalam satu kemalangan dengan sebuah kereta di lampu isyarat Kampung Sungai Seluang, Lunas dekat sini, pagi tadi.
Menurut Abdullah, kemalangan itu berlaku apabila pemandu kereta yang datang dari arah Padang Serai menghala ke arah Kulim meneruskan perjalanan apabila lampu isyarat berwarna hijau, namun tiba-tiba sebuah motosikal keluar dari simpang sebelah dan terus melintas di hadapan laluan kereta tersebut.
“Pemandu cuba mengelak ke kanan jalan tetapi terlanggar motosikal tersebut menyebabkan pembonceng motosikal itu maut di tempat kejadian,” katanya.
Penunggang motosikal tersebut mengalami kecederaan dan kini sedang dirawat di Hospital Kulim. – BERNAMA

