KULIM – Sekolah Rendah Kebangsaan Tamil Paya Besar di sini, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tamil ke-524 di negara ini yang dibina dengan kos RM7.9 juta, hari ini dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan.
Sekolah itu yang akan memulakan sesi persekolahannya esok, buat permulaannya akan beroperasi dengan seramai 17 orang guru serta 230 pelajar Tahun Satu hingga Tahun Lima.
Kamalanathan berkata perasmian sekolah itu sekali gus menangkis dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan bersifat pilih bulu dan mengutamakan sesuatu kaum apabila meluluskan sebarang pembinaan bangunan sekolah, sebaliknya ia dibina berdasarkan keperluan dan kepentingan semasa.
Beliau berkata kerajaan sebelum ini telahpun meluluskan pembinaan beberapa buah SJKT di Kedah antaranya di Taman Keladi, Sungai Petani dengan kos RM18.9 juta.
“Kawasan tersebut (Taman Keladi) diberi perhatian berikutan terdapat ramai kalangan anak-anak daripada keturunan India di lokasi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian itu.
Dalam perkembangan lain, Kamalanathan yang juga anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC menjelaskan beliau kini berada dalam keadaan ‘tunggu dan lihat’ sama ada untuk menawarkan diri bertanding ataupun tidak sebagai anggota CWC pada pemilihan semula MIC.
“Saya akan memberitahu anda sekalian sama ada saya akan mempertahankan kedudukan saya atau pun tidak, harap anda sekalian menunggu apabila tiba masanya,” katanya.
Kemelut MIC timbul setelah Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pemilihan tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan CWC, yang diadakan di Melaka pada November 2013, susulan aduan berlaku penyelewengan.
Dalam surat bertarikh 5 Dis tahun lalu, ROS mengarahkan MIC supaya mengadakan pemilihan semula bagi jawatan berkenaan dalam tempoh 90 hari.
Pada 18 Feb ini, mesyuarat peringkat tinggi Barisan Nasional (BN) mencapai keputusan untuk pemilihan semula MIC diadakan serta meminta Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel memanggil mesyuarat segera CWC 2009 untuk penubuhan sebuah Jawatankuasa Pemilihan Bebas dalam kalangan parti itu. – BERNAMA

