SARIKEI – Para peniaga di Sarawak diingatkan agar tidak menjadikan perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April nanti sebagai alasan untuk menaikkan harga barang.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata kenaikan harga itu tidak seharusnya berlaku kerana GST itu sendiri menurunkan harga 56 peratus daripada lebih 900 jenis barangan di negara ini.
“Di Semenanjung, sudah ada peniaga yang menaikkan harga barang walaupun GST belum lagi dilaksanakan.
“Sekiranya ini berlaku, pengguna boleh menggunakan kuasa 3M mereka iaitu memilih kedai yang menawarkan harga patut; melaporkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; dan memboikot kedai yang menaikkan harga barang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi penerangan mengenai GST dan Bajet 2015 di Dewan Suarah Sarikei di sini Khamis.
Pada sesi penerangan yang dihadiri 700 orang itu, Ahmad Maslan menasihati pengguna agar tidak terburu-buru membeli barangan yang dikatakan akan naik harga nanti.
“Tunggu sehingga GST dilaksanakan barulah beli barang. Cukai SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) sebanyak 10 peratus masa ini akan digantikan dengan GST sebanyak enam peratus dan ini dengan sendirinya akan mengurangkan harga barang,” katanya.
GST kata beliau bukan satu kos kepada pengeluaran yang pihak pengeluar boleh membuat tuntutan kredit cukai input daripada Kastam.
“Kos pengeluaran akan turun maka tiada sebab bagi pengeluar untuk meningkatkan harga barangan keluaran mereka,” katanya.
Menurut beliau lagi, kadar inflasi dijangka meningkat secara puratanya sebanyak 1.08 peratus semasa peralihan daripada SST kepada GST.
Menyifatkannya sebagai perkara biasa seperti yang terjadi di negara yang sudah melaksanakan GST, beliau memberitahu jumlah itu adalah kecil dan tidak akan berpanjangan. – BERNAMA

