LANJUTAN kisah petisyen pengampunan yang dikemukakan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang Di-Pertuan Agong semalam, isu tersebut mendapat perhatian salah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Tempelak Datuk Ahmad Puad Zarkashi, tindakan tersebut menjadi cerminan sikap bacul Anwar kerana dia cuma dihukum penjara selama lima tahun dan bukanlah hukuman gantung sampai mati ataupun penjara seumur hidup.
BERKAITAN: Mohon Pengampunan Agong Inisiatif Keluarga, Bukan PKR
Memetik kenyataan beliau dalam portal UMNO Online, “Anwar ternyata seorang yang bacul kerana biasanya mereka yang menerima hukuman gantung atau penjara seumur hidup sahaja yang memohon pengampunan.”
Tambah beliau, tindakan tersebut juga tidak menggambarkan pendirian Ketua Pembangkang itu yang selalu mencanangkan slogan ‘Lawan Tetap Lawan’.
“Setakat 5 tahun pun nak minta pengampunan ternyata Anwar hanya gempar sahaja bila selalu melaungkan slogan ‘lawan tetap lawan’.”
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat turut berkata, tindak-tanduk Ahli Parlimen Permatang Pauh itu banyak mencemarkan institusi beraja di Malaysia, namun kini ‘melutut’ memohon keampunan.
“Tetapi sekarang melutut meminta pengampunan Raja. Enough is enough, Anwar mesti berhenti berlakon dan berbohong.”
Dalam pada itu, Puad tidak bersetuju dengan tindakan tersebut kerana ia bakal menjadi ‘bad precedent‘ andai Anwar diampunkan Agong.
Ujarnya, tindakan itu bakal diikuti oleh individu lain yang didapati bersalah terhadap tuduhan rogol dan liwat kerana masing-masing akan membuat petisyen sama terhadap Yang di-Pertuan Agong.
– MYNEWSHUB.CC
Laporan Awani – Keluarga Anwar Mohon Petisyen Pengampunan Yang Di-Pertuan Agong



