ALOR SETAR – Pembangkang mendesak supaya tugu yang dibaik pulih bagi memperingati tentera Jepun di pekarangan Pejabat Kementerian Pelancongan Kedah di sini dirobohkan segera.
Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting berkata, pihaknya melihat tiada keperluan langsung untuk membaik pulih tugu bagi mengenang kekejaman penjajah.
“Kami bantah dengan usaha membaik pulih tugu ini dan mahu ia dirobohkan segera demi maruah rakyat negeri ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan tugu tersebut, di sini hari ini.
Hadir sama bagi menunjukkan bantahan ialah Setiausaha Pemuda UMNO Kedah, Nazar Ahmad; Ketua Penerangan PAS Kedah, Abdul Hadi Omar dan Ketua Pemuda MIC Kedah, J. Jeebavalan.

Katanya, alasan yang diberikan kerajaan negeri kononnya usaha baik pulih itu dilakukan untuk memelihara artifak sejarah juga tidak dapat diterima.
“Banyak lagi tinggalan sejarah yang lebih baik untuk dibaik pulih dan dikenang di negeri ini,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya juga bertindak menggantung kain rentang anti Jepun pada pagar tugu bagi menunjukkan bantahan mereka.
Sementara itu, Nazar berkata, pihaknya juga membantah usaha membaik pulih tugu tersebut dan menyifatkan kerajaan negeri yang terlibat dalam majlis perasmian tugu itu sebagai tidak sensitif.
“Kita melihat perbuatan yang turut mengiktiraf tentera Jepun yang terkorban semasa zaman penjajah sebagai wira adalah tidak bertanggungjawab dan memalukan,” katanya.
Kosmo! hari ini melaporkan kerajaan Kedah memohon maaf atas kesilapan teknikal mengenai perkataan ‘wira’ yang tercatat pada papan maklumat tugu memperingati tentera Jepun di pekarangan Pejabat Kementerian Pelancongan Kedah. – K! ONLINE

