KUALA LUMPUR – Taktik seorang lelaki yang berpura-pura memeriksa telefon bimbitnya untuk mengaburi mata pekerja sebuah premis membaiki kenderaan menjadi apabila dia berjaya melarikan sebuah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian di Jalan Chan Sow Lin, Cheras di sini kelmarin.
Menerusi sebuah rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 39 saat yang tular di laman media sosial Facebook hari ini, seorang lelaki dilihat memeriksa telefon bimbitnya sambil berdiri berhampiran dengan sebuah kenderaan SUV jenis Mitsubishi ASX dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu.
Tidak lama kemudian, dia dilihat menghampiri bahagian pintu tempat duduk pemandu yang terbuka dan memasuki kenderaan tersebut yang selesai diservis di premis tersebut.
Seorang pekerja premis tersebut yang menyedari kelakuan peliknya cuba menghalangnya untuk melarikan kenderaan itu tetapi tidak berjaya.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik kereta seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun tentang kejadian tersebut pada hari yang sama.
“Suspek tersebut dipercayai seorang lelaki warga tempatan dan usaha untuk mengesannya sedang giat dijalankan.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kereta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – K! ONLINE
