KUALA LUMPUR – Tempoh masa singkat tidak sampai sebulan bukanlah halangan untuk menjayakan istiadat bersejarah membabitkan pemasyhuran Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang dinanti-nantikan seluruh rakyat, dengan penuh meriah dan tersusun rapi.
Petugas daripada pelbagai agensi kerajaan berganding bahu untuk memastikan istiadat itu hari ini berjalan lancar.
Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela, Azuan Effendy Zairakithnaini berkata dalam tempoh yang pendek itu tugas besar terpaksa digalas bagi memastikan istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong berlangsung dengan sempurna.
“Saya berasa lega dan bersyukur istiadat yang dinanti-nantikan semua rakyat berlangsung seperti yang dirancang dan terurus.
“Meskipun jangka masa persiapan yang singkat iaitu lebih kurang 24 hari, dengan komitmen dan tanggungjawab semua kakitangan di agensi-agensi terlibat, hasilnya semuanya berjalan lancar,” katanya kepada Bernama selepas selesai istiadat itu di Istana Negara di sini hari ini. – BERNAMA