
NEW DELHI – Sekumpulan enam perenang di India berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila mereka mencatat rekod baharu dunia setelah berenang paling lama di laut terbuka, lapor beberapa akhbar tempatan pada Sabtu.
Pasukan Sea Hawks itu berenang secara berganti-ganti di laut, sejauh 433 kilometer dalam tempoh 156 jam sekali gus mengatasi rekod yang dipegang sekumpulan perenang Israel, iaitu berenang sejauh 380 kilometer selama 123 jam.
Perenang berpengalaman dari India tersebut yang merangkumi sekumpulan pegawai polis dan tentera, memulakan percubaan mereka di Dona Paula terletak di barat wilayah negeri bekas jajahan Portugis, Goa pada 13 Februari lalu.
Kumpulan tersebut diketuai Paramvir Singh dengan disertai pegawai tentera udara India, Sarjan Gullupilli Narhari, Sarjan Ankan Kumar Patel dan Vicky Tokas, selain Asisten Sub-Inspektor Ganesh Palande dari Jabatan Polis Mumbai.
Peserta paling muda ialah Manav Mehta, pelajar darjah enam dari sebuah sekolah antarabangsa di Podar, Nerul dekat sini, manakala pemerhati bebas dari Persekutuan Renang India, Shekhar Kale mengesahkan catatan rekod baharu dunia itu.
Mereka yang melalui pengalaman getir dibadai ombak kuat sepanjang pantai peranginan Konkan akhirnya tiba di destinasi pelancongan popular, Gateway of India, di Mumbai pada Khamis, selepas berenang selama enam hari. – Agensi

