AIB… Penularan video ‘majlis tari’ yang libat personaliti seperti menteri, Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara adalah suatu yang amat memalukan institusi kehakiman serta perundangan negara.
Kekesalan itu diluahkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika beliau mengulas perkara tersebut dan berkata, ia tidak sepatutnya berlaku dalam era konon pentadbiran Malaysia Baharu!
Lebih-lebih lagi ia menampilkan watak ternama iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong; Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Thomas sendiri.
Tidak ketinggalan penglibatan peguam politik pro-Pakatan Harapan (PH) antaranya Datuk Ambiga Sreenevasan dan Siti Kasim. Menurut beliau, sejak dahulu lagi, senario institusi kehakimanan dan perundangan negara amat sensitif.
Ini termasuk dengan apa juga bentuk pergaulan sosial terutama para hakim tempatan dengan masyarakat yang mampu gugat keyakinan rakyat terhadap imej kehormatan, nilai etika, kredibiliti integriti dan adab susila mereka.
“Apatah lagi jika melibatkan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara yang bersosial dengan ahli politik dan individu berprofil tinggi pro-PH. Pastinya acara itu boleh undang kontroversi dan hakis kepercayaan rakyat.
“Ini kerana penyandang jawatan terbabit bertanggungjawab terhadap sebarang keputusan di mahkamah yang bakal mereka ambil kelak,” kata Asyraf Wajdi dalam nada kesal menerusi kenyataan kepada media di ibu negara hari ini.
Beliau mengulas sebuah klip video yang tular memaparkan beberapa individu berprofil tinggi dan dihormati dalam sistem undang-undang serta pentadbiran negara sedang menari lincah di pentas pada satu majlis makan malam.
Jelas Asyraf Wajdi, tingkah laku mereka juga terkait dengan mantra yang harus mendasari sistem kehakiman dan perundangan negara iaitu ’keadilan bukan hanya perlu dilaksanakan, bahkan mesti dilihat dilaksanakan’.
Justeru, katanya, sayap UMNO tersebut melahirkan perasaan amat kecewa dengan penularan video majlis sosial berkenaan yang hakikatnya telah berjaya calar maruah institusi kehakiman dan sistem keadilan negara sendiri.
Ini terutama institusi Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara yang dilihat kian hilang kredibiliti dan nilai integriti lantaran pencabulan etika dan prinsip konflik kepentingan yang mula dipersoalkan rakyat. – Agensi/Mynewshub.TV

