KUANTAN – Sejumlah 1,556 syarikat di Pahang yang membuat perbekalan bercukai melebihi RM500,000 masih belum berdaftar di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Kastam Diraja Pahang, Datuk Sarip Ismail menasihati pemilik premis perniagaan berkenaan supaya segera melakukan pendaftaran pada atau sebelum 28 Februari ini bagi mengelakkan ‘lawatan’ pihak Kastam.
“Pada operasi khas dinamakan Ops GST, kami akan mencari syarikat yang belum berdaftar untuk didaftarkan secara paksaan secara in situ (daftar di premis perniagaan) sekiranya layak,” katanya kepada Bernama di sini.
Ops GST di Pahang akan diadakan selama 15 hari bermula 1 Mac ini, katanya.
Berdasarkan Seksyen 184 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (Akta GST 2014), individu yang gagal untuk mendaftar seperti yang ditetapkan akan dikenakan kompaun RM15,000.
Mereka disabitkan dengan kesalahan itu pula boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA

