
TRIPOLI  Selepas ‘mencipta’ nama dikenali di seluruh dunia dengan rakaman video keganasan sadis memancung 21 tebusan warga Mesir beragama Kristian Coptic di Libya minggu lalu, kali ini militan Islamic States (IS) lebih sopan sikit.
Terbaharu, kumpulan pelampau itu di Libya mendedahkan beberapa foto eksklusif yang menunjukkan sekumpulan anggota mereka berbaris dengan pakaian seragam gelap mereka sedang memerhati beberapa peralatan muzik marak dibakar api.
Media antarabangsa pada Khamis melaporkan, gambar tersebut dirakamkan jurufoto IS di sebuah kawasan terpencil di padang pasir dekat bandar pelabuhan Derna, kira-kira jarak 1,300 kilometer ke timur ibu negara Libya, Tripoli baru-baru ini.

Terdahulu, anggota Hesbah atau polis syariah kumpulan itu dipercayai berjaya menyita banyak peralatan muzik di wilayah Warqa kerana mendakwa benda bunyian hiburan tersebut kononnya sebagai haram menurut ajaran Islam mereka.
Kesemua set alat berkenaan dikumpul setempat sebelum anggota Hesbah lengkap bersenjata berat dan menutup muka itu kemudian membakar sehingga habis hangus bagi memberi mesej kepada masyarakat kononnya Islam melarang hiburan muzik.
Awal tahun ini, pasukan polis IS itu pernah menjatuhi hukuman sebat ke atas seorang pemuzik Syria serta menghancurkan sebuah alat keyboard milik penghibur tersebut kerana dianggap mempromosikan gaya hidup bebas yang tidak patuh syariah.

Pesalah itu dihukum dengan cara dipukul menggunakan tongkat kayu di bahagian punggung dan kakinya di sebuah kawasan lapang serta dirinya diaibkan apabila hukuman tersebut turut disaksikan secara terbuka oleh ramai penduduk tempatan.
Di Libya, IS setakat ini berjaya menguasai empat bandar besar di sepanjang pesisir negara rantau Afrika Utara itu dan bergabung dengan beberapa organisasi militan yang sebelum itu pernah menggulingkan allahyarham Muammar Gaddafi. – Agensi

