JOHOR BAHRU – Anggota bomba mengambil masa lebih sejam menyelamatkan seekor lembu yang terperangkap di dalam loji air di Jalan Sukun, Kampung Pasir di Johor Bahru, malam tadi.
Kejadian itu disedari oleh pemiliknya sebelum menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan pada 10.40 malam selepas lembunya itu terjatuh ke dalam loji berkenaan yang sedalam 1.5 meter.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru Mohd Tarmizi Ishak berkata tujuh anggota berserta satu jentera bergegas ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan lembu betina yang dianggarkan seberat 90 kilogram itu.
Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.
“Sebelum ketibaan pihak bomba, lembu tersebut meronta-ronta di dalam air. Namun, selepas pihak bomba tiba, lembu tersebut mula bertenang.
“Lembu berkenaan dinaikkan menggunakan tali dengan sebahagian daripada anggota menolak dari bawah,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.
Menurutnya, haiwan terbabit berjaya diselamatkan sebelum diserahkan kepada pemiliknya sejurus tamat operasi pada 1.46 pagi tadi.- BERNAMA

