Oleh Mynewshub
SHAH ALAM – Seekor lembu seberat kira-kira 250 kilogram berjaya diselamatkan pasukan bomba selepas terjatuh ke dalam longkang di kawasan Blok Pangsa Indah, Jalan Suria U5/103A, Subang Bistari, tengah hari semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 12.05 tengah hari itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh menerima panggilan kecemasan berkaitan khidmat khas menyelamat haiwan.
Seramai enam anggota bersama sebuah jentera FRT Sitrak kemudian digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira 10 minit kemudian.
Komander Operasi, PBK I Rosdi Hainan berkata, setibanya di lokasi pihaknya mendapati seekor lembu telah terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira tiga kaki.
Menurutnya, operasi menyelamat dilakukan dengan memasang tali webbing pada badan lembu sebelum haiwan itu diangkat keluar menggunakan bantuan forklift seberat 1.5 tan.
“Lembu tersebut berjaya dikeluarkan dengan selamat dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.05 petang,” katanya.
Beliau berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa atau kecederaan.
Tindakan pantas anggota bomba turut mendapat perhatian penduduk setempat yang memuji usaha pasukan penyelamat membantu haiwan berkenaan.


