AUTA… Hari ini komuniti bisnes seluruh dunia ‘ketawa’ apabila Lim Guan Eng dakwa pelaburan langsung asing (FDI) konon naik hampir empat kali ganda untuk sembilan bulan pertama tahun ini!
Angka disebut Menteri Kewangan itu kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Smart Green Community’ di Tapak Pertanian Dalam Bandar Lebuh Padang Tembak, Air Itam, George Town, Pulau Pinang itu ternyata palsu.
“Kalau lihat dari segi jumlah FDI ke Malaysia untuk sembilan bulan pertama amat berangsang, kalau tahun lepas kira-kira RM14 bilion, tapi sembilan bulan pertama tahun ini adalah RM49 bilion iaitu hampir empat kali ganda.
“Ini satu tanda amat baik tunjuk keyakinan luar negeri bertambah di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad berusaha bersunguh-sunguh hendak bersihkan Malaysia dan mahu kembalikan Malaysia ke pangkal jalan betul.
“Kita hendak beritahu satu dunia bahawa Malaysia sekarang telah bebas daripada genggaman kleptokrasi sedunia,” kata Guan Eng dengan yakin konon merujuk kejayaan Pakatan Harapan (PH) berbanding Barisan Nasional (BN).
Ironi, apa dikatakan Setiausaha Agung DAP itu tidak benar jika disemak data rasmi terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sekali gus cetus persoalan cepumas, apakah Guan Eng bohong kepada dunia dengan fakta keliru?
Isu serius itu turut disentuh Datuk Seri Najib Tun Razak apabila persoal kenyataan pelik Guan Eng konon FDI ke negara ini boleh naik 350 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding rekod tahun lepas.
Beliau berkata, rujukan terhadap laporan rasmi dari Bank Negara Malaysia (BNM) dan DOSM menunjukkan FDI alami kejatuhan teruk tiga kali ganda bagi sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Baca: Skim Insurans B40 – UMNO Dakwa LGE Tipu Rakyat?


“Angka rasmi dan sahih tunjukkan FDI jatuh tiga kali ganda dan bukannya naik tiga kali ganda sebagai mana yang diumum oleh Guan Eng. FDI suku pertama yang tinggi pun sudah junam turun bagi suku ke-2 dan ke-3,” kata Najib.
Bekas Perdana Menteri dan mantan Menteri Kewangan itu mendedahkan penipuan Guan Eng tersebut melalui satu hantaran di akaun sosial Facebook beliau pada hari ini yang turut tular dalam kalangan netizen dengan reaksi kesal.
Anehnya, berita pelik itu dilaporkan agensi berita rasmi BERNAMA memetik Guan Eng berkata kononnya Malaysia catat kenaikan 350 peratus FDI dalam tempoh sembilan bulan tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Kenaikan tersebut ujar Guan Eng, menjadi bukti kukuh sejak lima bulan di bawah pentadbiran PH, pertumbuhan ekonomi negara kononnya sangat baik dan keyakinan pelabur yang tinggi terhadap kepimpinan baharu negara.
Bahkan tambah Guan Eng yang dipetik BERNAMA, FDI dalam tempoh sembilan bulan tahun ini ialah RM49 bilion berbanding RM14 bilion dalam tempoh sama tahun lalu walhal data rasmi menunjukkan angka yang sebaliknya.
“Tiap-tiap hari kita baca laporan media bahawa rizab antarabangsa BNM semakin susut, unjuran ekonomi negara pula terus diturunkan, ringgit semakin jatuh nilainya, indeks bursa jatuh dengan pengaliran keluar dana asing.
“Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang jadi petunjuk umum ekonomi Malaysia malah merosot suku kedua dan suku ketiga. Adakah Guan Eng terus menipu ataupun agensi rasmi kerajaan tersalah lapor?
“Atau sebagai mana pada masa lalu, Guan Eng hanya pandai ‘main hantam’ sahaja? Dia perlu tahu bahawa laporan kedudukan ekonomi bukan manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) boleh ditemberang atau ditipu dengan mudah.
“Sekali lagi, ini sebuah kerajaan, bukannya taman permainan atau sarkas!” luah Najib dalam nada sindir terhadap Guan Eng yang secara terang-terangan berjaya manipulasi angka ekonomi negara kita. – Agensi/Mynewshub.TV

