SIASAT… Pasukan polis hari ini muncul di lokasi Muhammad Adib Mohd Kassim yang ditarik dan dipukul perusuh di hadapan kawasan kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, awal pagi Selasa lalu.
Mereka terdiri daripada Unit Forensik Polis Diraja Malaysia, pegawai penyiasat serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, tiba di lokasi kejadian sekitar jam 12 tengah hari tadi.
Turut dilihat berada di lokasi kejadian ialah anggota bomba yang berada bersama-sama Muhammad Adib, ketika pasukan mereka diserang sekumpulan perusuh bagi bantu pihak polis dengan lakon semula kejadian itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata siasatan secara terperinci itu dibuat bagi membolehkan pihak polis mengetahui situasi sebenar kejadian anggota Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM itu diserang.
Muhammad Adib, 24, dan anggota bomba lain yang menaiki jentera JBPM serta van EMRS, diserang dan dibaling batu serta objek lain hingga menyebabkan berlaku kerosakan dan cermin pada badan kenderaan tersebut.
“Pada hari ini, Unit Forensik Polis menjalankan siasatan serta buat lakonan semula di lokasi bagi membolehkan kita mendapat butiran dan maklumat lanjut mengenai siasatan kes serangan ke atas Adib dan pasukan bomba.
“Pada masa ini saya tidak dapat lagi memberikan butiran lanjut bagi membolehkan siasatan sepenuhnya dijalankan,” kata Mazlan yang dipetik laporan media tempatan hari ini.
Beliau berkata pihak polis terpaksa menutup satu lorong untuk sementara waktu di lokasi kejadian berkenaan ketika siasatan dilakukan sebelum dibuka semula selepas proses siasatan selesai.
Mengulas kawalan polis di kawasan sekitar kuil Sri Maha Mariamman yang memasuki hari keenam, Mazlan berkata keadaan dilaporkan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Saya dapati keadaan di sana kini sama seperti suasana sebelum kejadian pencerobohan kuil dan orang ramai menjalankan aktiviti harian mereka seperti sedia kala.
“Justeru saya mengingatkan mana-mana pihak untuk tidak cuba menyebarkan sebarang berita atau maklumat mengenai situasi yang tidak benar hingga menyebabkan suasana tegang.
“Kita tidak akan teragak-agak mengesan dan mengambil tindakan ke atas mereka,” katanya. Pada masa ini seramai 500 pegawai dan anggota polis masih ditempatkan di kawasan kuil serta kawasan berhampiran.
Tinjauan seawal jam 9 pagi di kawasan kuil berkenaan mendapati laluan bergerak lancar, meskipun sebahagian pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan mereka bagi melihat keadaan dalam kuil.
Premis berkenaan masih lagi dikawal oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Polis Trafik serta pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya. – Agensi/Mynewshub.TV