BUKIT MERTAJAM – Polis menahan seorang lelaki kerana aktif menjalankan kegiatan pecah rumah termasuk yang terbaharu dia telah memecah masuk rumah seorang guru di Taman Guar Perahu, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki berusia 26 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 tengah hari iaitu enam jam selepas dia memecah masuk rumah guru lelaki berkenaan dan melarikan pelbagai barangan berharga bernilai lebih RM5,000.
“Guru itu membuat laporan polis selepas rumahnya telah dipecah masuk dan empat utas jam tangan berjenama, telefon bimbit, dokumen peribadi dan wang tunai sebanyak RM2,400 milik mangsa serta isterinya hilang dalam kejadian berkenaan.

“Mangsa hanya menyedari semua barangan itu hilang pada pukul 7 pagi dan terus membuat laporan polis sebelum kami terus melancarkan gerakan mengesan suspek dan berjaya menahan lelaki berkenaan di taman yang sama,” katanya di sini hari ini.
Katanya polis juga berjaya menemui semula semua barangan milik mangsa bersama lelaki itu dan turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah suspek sejak beberapa bulan lepas.
Nik Ros Azhan berkata siasatan mendapati suspek masuk ke dalam rumah mangsa menerusi pintu belakang selepas ibu guru berkenaan terlupa mengunci pintu tersebut.
“Siasatan juga mendapati lelaki yang tidak bekerja itu turut terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar kawasan taman tersebut dan Bukit Mertajam membabitkan kerugian lebih RM20,000,” katanya.
Katanya lelaki yang turut positif dadah itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan. – BERNAMA

