PENGESAHAN… Polis hari ini menyangkal dakwaan yang dibuat Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman mengatakan konon anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, dilanggar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, perkara tersebut turut dijelaskan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohamad Hamdan Wahid di ibu negara semalam.
“Maklumat itu tidak benar, kita sudah kenal pasti pihak yang buat dakwaan. Mangsa memang dipukul, bukan dilanggar dan kita masih buru mereka yang bertanggungjawab atas kejadian itu,” kata beliau dalam sidang akhbar.
Mohamad Fuzi terdahulu merasmikan Majlis Penutup Forum Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC): Ke Arah Perkhidmatan Kepolisan Yang Cemerlang di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras di ibu negara.
Semalam Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Kuil Maha Mariamman, S. Ramaji berkata beliau ada bukti yang menunjukkan orang ramai cuba bantu keluarkan Muhammad Adib, 24, yang tersepit konon dihimpit jentera bomba.
Bagaimanapun dakwaan berkenaan segera dinafikan Mohamad Hamdan dalam sidang akhbar selepas lawat mangsa di Institut Jantung Negara dan satu laporan polis dibuat pihak JBPM lewat malam tadi. – Agensi/Mynewshub.TV