WARSAW – Miskin tegar bukan masalah baharu di Perlis malah ia sudah wujud begitu lama dan bertapak kukuh dalam kalangan segelintir masyarakat Melayu.
Usaha mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan itu bagaikan mendaki gunung yang tinggi dan penuh dengan cabaran.
Itulah yang sedang dilihat oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) bagi merencanakan masa hadapan mereka yang lebih baik, titah Raja Muda Perlis kepada para pelajar Malaysia di Medical University of Warsaw (MUW), Poland minggu lalu.
YTSP berhasrat menyediakan rancangan komprehensif untuk membantu rakyat Perlis meninggalkan kepompong kemiskinan yang bagaikan menutup masa hadapan mereka.
Baginda yang juga Pengerusi YTSP bertitah bahawa mereka akan diajak menyertai gerakan pembangunan sosioekonomi yang menjadi antara teras rancangan komprehensif itu kelak.
Baginda yang mengetuai delegasi lawatan kerja ‘Jelajah Ilmu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ke-14’ itu turut menyampaikan sumbangan YTSP kepada para pelajar Malaysia yang menuntut di situ.
Berangkat sama anakanda kedua, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail manakala turut hadir ialah Duta Besar Malaysia ke Poland, Chitra Devi Ramiah dan Naib Canselor, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal.
Ketika ini terdapat seramai 56 pelajar Malaysia yang menuntut di universiti tersohor di Poland itu.
Baginda yang juga Canselor UniMAP turut menasihatkan mahasiswa Malaysia di MUW supaya berbelanja secara berhemah dan menguruskan kewangan secara bijak termasuk menabung.
Menurut baginda berdasarkan kajian oleh sebuah bank iaitu First Direct di United Kingdom mendapati 66% golongan belia negara itu terus bergantung hidup dengan ibu bapa atau keluarga mereka terutama apabila melibatkan soal kewangan.
Bagi mahasiswa Malaysia, mereka hendaklah tidak membebankan ibu bapa selepas berkerjaya dan mempunyai pendapatan sendiri.
Baginda turut berbangga dengan bekas pelajar universiti itu dari Malaysia, Nor Syahirah Mohd Nor Norul yang telah menempa sejarah apabila menerima anugerah emas pelajar terbaik pada istiadat konvokesyen tahun 2017. – BERNAMA

