SEREMBAN – Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di Negeri Sembilan melancarkan ‘Ops Bantu’ ke-10 di sini hari ini menawarkan perkhidmatan bantuan kecemasan terutama kepada pengguna jalan raya pada musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Timbalan Pengarah JPAM negeri, Mejar Mohd Rohaidi Halim berkata sebanyak 137 anggota dengan 12 buah ambulans, tujuh kenderaan pacuan empat roda dan empat buah motosikal terlibat dalam operasi itu meliputi tujuh daerah di negeri ini.
“Operasi ini dibahagikan kepada dua fasa iaitu pada 16 hingga 18 Feb dan 22 hingga 24 Feb bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam. Ops Bantu ini diadakan sebelum dan selepas perayaan Tahun Baharu Cina di kawasan operasi melibatkan daerah Seremban, Port Dickson, Tampin, Kuala Pilah, Gemas, Jelebu dan Jempol.
“Dalam Ops Bantu ini anggota kami akan membuat rondaan setiap jam di kawasan berkenaan. JPAM negeri sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan sekiranya bantuan pasukan diperlukan dalam situasi kecemasan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan operasi itu di sini hari ini.
Pengguna jalan raya yang ingin mendapatkan bantuan hanya perlu menghubungi talian 999 atau JPAM negeri di talian 06-7645755. – BERNAMA