KENINGAU – Seorang lelaki warga asing berusia 25 tahun ditahan kerana disyaki memiliki kad pengenalan (MyKad) palsu kata Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, ASP Lee Nyuk Kim.
Katanya, lelaki berkenaan ditahan dalam satu sekatan jalan raya operasi terhadap kenderaan perdagangan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Jalan Apin-Apin kira-kira jam 6.45 petang semalam, selepas mendapati kad pengenalan yang tunjukkan suspek ketika diperiksa tidak ada dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Dia (warga asing) cuba menyogok RM500 kepada polis supaya tidak ditangkap,” kata Lee kepada pemberita di sini hari ini yang turut disertai Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Keningau Suriati Sukardi.
Lee berkata siasatan awal pihaknya mendapati Kampung Kerabot atau Kerobot, Keningau, sebagaimana yang tercetak dalam kad pengenalan palsu itu tidak wujud di daerah Keningau.
Menurutnya siasatan pihaknya juga mendapati suspek membeli kad pengenalan berkenaan pada harga RM3,000 dari seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai ‘Paul’ .
“Dia (suspek) membeli dan menggunakan kad pengenalan palsu itu sejak bulan Febuari 2018. Suspek juga didapati positif dadah jenis syabu,” kata Lee.
Selain MyKad palsu berkenaan, turut dirampas dari suspek ialah wang tunai RM500 yang disyaki cuba diberikan suspek kepada pegawai polis berpangkat DSP sebagai sogokan bagi mengelaknya ditahan.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. – BERNAMA

