IPOH – Kerajaan Perak memberi jaminan akan meluluskan kesemua permohonan pembaharuan tempoh pajakan tanah kepada semua pemohon, termasuk penduduk Kampung Baru.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pihaknya melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sentiasa berterusan dalam memberikan kelulusan kepada setiap permohonan berkenaan.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengambil perhatian terhadap kesejahteraan hidup masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar, terutama penduduk Kampung Baru.
“Tiada satu pun permohonan pembaharuan tempoh pajakan yang ditolak kerajaan negeri tanpa alasan kukuh,” katanya ketika ditemui di majlis penyampaian hak milik bagi kelulusan permohonan pembaharuan tempoh pajakan Kampung Baru di Mukim Hulu Kinta, daerah Kinta, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud dan Pegawai Daerah Kinta, Halizah Sipun.
Pada majlis itu, seramai 94 penduduk dari 13 Kampung Baru sekitar daerah Kinta menerima geran pembaharuan pajakan tanah selama 99 tahun.
Ahmad Faizal berkata, secara dasarnya tempoh pegangan baharu yang dikekalkan adalah tidak melebihi 99 tahun dan ia berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Tanah Negara ke-66 pada 1 Disember 2010 serta keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) pada 4 Mei 2011.
“Sebanyak 711 permohonan memperbaharui tempoh pajakan Kampung Baru dalam mukim Hulu Kinta yang diterima dan diproses bagi 2016 hingga 2018 dan daripada jumlah itu, 211 sudah dikeluarkan hak milik termasuk 94 hak milik pada hari ini.
“Saya beri jaminan tidak akan sewenang-wenangnya menolak permohonan pembaharuan tempoh pajakan. Ini bagi memastikan penduduk terus memiliki dan dapat mewariskan tanah kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga komited dalam meringankan beban rakyat dan ini dibuktikan dengan pemberian 80 peratus diskaun daripada kadar premium tanah pajakan yang dikenakan.
“Diskaun ini bukan sahaja diberikan kepada penduduk Kampung Baru tetapi juga pemilik tanah lesen pendudukan sementara (TOL) iaitu kira-kira 3,000 pemohon,” katanya.
Ahmad Faizal berkata, dengan diskaun itu, pemohon hanya perlu membayar premium serendah RM6,000 hingga RM12,000 mengikut keluasan dan lokasi tanah berbanding kadar RM30,000 hingga RM60,000 jika tanpa diskaun.
Mengenai isu hak milik tanah 999 tahun seperti terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan Perak, beliau berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Kerajaan Persekutuan dan akan menuruti apa juga keputusan yang ditetapkan nanti. – BH Online

