TAIPING – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas pertuduhan membunuh rakannya di bangunan rumah kedai dekat Jalan Panggung Wayang di sini awal bulan ini.
Tertuduh, Abdul Rahman Abdollah, 27, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Hairol Jemain.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Freddie Lim Kok Ching, 38, di tingkat tiga bangunan rumah kedai dekat Jalan Panggung Wayang kira-kira pukul 10.42 pagi pada 2 November lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Raihan Rithwan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan tarikh 8 Januari tahun depan laporan bedah siasat dan sebutan semula kes.
Akhbar Kosmo! baru-baru ini melaporkan, seorang lelaki maut selepas dicekik rakannya di hadapan sebuah bilik di sebuah premis di Jalan Panggung Wayang di sini.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dicekik suspek.
Menurut keterangan seorang saksi, ketika kejadian, mangsa sedang tidur di dalam bilik bersebelahan biliknya sebelum dia terjaga selepas mendengar pergaduhan antara mangsa dan suspek.
Saksi yang berusia 35 tahun berusaha meleraikan pergaduhan tersebut namun, suspek bertindak mencekik leher mangsa.
Punca pergaduhan antara suspek dan mangsa disebabkan masalah cemburu dan kewangan.
Difahamkan, tertuduh dan mangsa mempunyai hubungan sejenis dan mereka merupakan pasangan kekasih.– K! ONLINE
*Sekadar Video Hiasan..

