KUBANG PASU – Tujuh pelajar perempuan sebuah asrama akhlak di Jitra dekat sini nekad memecahkan siling bumbung premis berkenaan untuk melarikan diri awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Ismail Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku disedari oleh warden asrama terbabit kira-kira pukul 1.17 pagi setelah dia dimaklumkan oleh penghuni lain mengenai kejadian tersebut.
“Sebaik menyedari kejadian itu, pihak asrama telah membuat pemeriksaan di kawasan sekitar dan berjaya menemukan empat daripada tujuh pelajar yang meloloskan diri.
“Mereka kemudiannya membuat laporan polis pada pukul 9.41 pagi berhubung kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pemeriksaan mendapati kesemua mereka melarikan diri dengan cara memecahkan siling tandas bangunan berkenaan.
“Selain itu kami turut menemukan kesan rosak pada pagar dawai berduri di mana mereka dipercayai keluar daripada kawasan larangan tersebut menerusi laluan itu,” katanya.
Tambahnya kesemua mereka yang masih dicari itu berusia 16 tahun dan berasal dari Kampung Bukit Tangga, Langkawi, Kampung Banggol Chengal, Pokok Sena dan Kampung Acheh, Pantai Remis, Perak.
“Ketiga-tiga mereka sebelum ini ditempatkan di asrama akhlak itu mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016) kerana tidak terkawal.
“Sehingga kini usaha mengesan mereka giat dijalankan dengan ke disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

