WASHINGTON DC – Jumlah rekod calon Muslim Amerika akan bertanding dalam Pilihan raya pertengahan penggal di Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung Selasa ini naik 10 kali ganda.
Sebahagian daripada mereka masuk bertanding hanya semata-mata bagi bantah dasar imigresen dan keselamatan sempadan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.
Laporan analisis The New York Times misalnya menyebut bahawa sekitar 100 calon beragama Islam akan bertanding kali ini, berbanding lebih 10 sahaja yang berbuat demikian pada tahun 2016.
Pada 2013, Detroit, di Michigan menjadi bandar terbesar dalam sejarah AS yang meminta perlindungan muflis. Lima tahun kemudian, sebahagian bandar tersebut rancak semula dan pelabur mula kembali perlahan-lahan.
Detroit juga menjadi nadi kebangkitan politik Muslim Amerika. Sememangnya Michigan, salah satu wilayah di AS yang ada paling ramai penduduk Arab dan Muslim. Dan tahun ini, ia menampilkan jumlah tertinggi calon Islam.
Lebih 90 peratus calon Islam – kebanyakannya Demokrat – mengatakan mereka terpanggil untuk bertanding kerana bantah dasar pentadbiran Trump seperti “pengharaman perjalanan’ yang dikenakan ke atas orang Islam ke AS.
Abraham Aiyash, yang berasal dari Yaman, adalah antara 13 calon Muslim yang bertanding. Terdapat lebih 3.3 juta Muslim di AS, tetapi Muslim warga AS hanya menduduki dua daripada 535 kerusi Dewan Kongres.
“Kita sekarang ada peluang untuk akhirnya berkata, secara kolektif, tidak kira anda gay, orang Islam, orang kulit hitam, orang yang baru berhijrah ke negara ini, anda mempunyai tanggungjawab untuk bangkit bersuara.
“Ini kerana demokrasi bukan permainan untuk ditonton sahaja,” kata Abraham yang menjadi calon Dewan Senat Michigan. Muslim AS hanya membentuk sekitar 1 peratus bilangan penduduk AS.
Tetapi jumlahnya sedang berkembang pesat. Pusat Penyelidikan Pew menganggarkan menjelang 2040, agama Islam akan menjadi agama kedua terbesar di AS. Imam Ibrahim Kazerooni dari Pusat Islam AS turut mengulas isu itu.
“Bagaimana golongan minoriti boleh menjadi sebahagian daripada sistem politik yang akhirnya beri mereka kuasa untuk berupaya memberi pengaruh dan perubahan. Yang pasti masyarakat Yahudi berdaya berbuat demikian.
“Masyarakat Muslim sedang dalam proses,” kata Ibrahim. Namun cabaran yang dihadapi Muslim-Amerika bukannya mudah kerana sesetengahnya menempuh tekanan kuat daripada sentimen anti-Muslim.
Di Minnesota misalnya, seorang calon datuk bandar melaporkan tentang dua kejadian di mana beliau menerima ancaman anti-Muslim menerusi akaun media sosialnya. – Agensi/Mynewshub.TV

