SETIU – Sebanyak 64 buah keluarga di Kampung Sri Bayas, di sini terputus hubungan setelah kampung tersebut mula dinaiki air setinggi 1.2 meter sejak tengah malam tadi.
Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Wan Jais Mohamad berkata kesemua penduduk di kampung tersebut terputus hubungan apabila jambatan Kampung Sri Bayas yang menghubungkan kampung itu dengan kampung lain berdekatan ditenggelami air.
“Sekarang ini penduduk terpaksa menggunakan bot sebagai pengangkutan untuk keluar masuk ke kampung tersebut kerana kenderaan lain tidak dapat melalui jalan berkenaan.
“Saya dan rakan-rakan sedang memantau keadaan rumah yang terlibat dan mempersiapkan tempat untuk mereka berpindah jika keadaan menjadi lebih teruk,” katanya kepada Bernama.
Kampung Sri Bayas merupakan antara kawasan yang sering dinaiki air ketika musim tengkujuh dan penduduk akan berpindah ke Sekolah Kebangsaan Kampung Besut sekiranya paras air semakin meningkat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail berkata sebanyak tiga kawasan di daerah Setiu telah dinaiki air dan ada di antaranya telah terputus hubungan.
“Selain Kampung Sri Bayas, kampung lain yang dinaiki air setakat ini ialah Kampung Merbau Menyusut, dan Kampung Tok Randuk, Pelong.
“Buat masa ini, kita telah meletakkan anggota kita di kawasan berkenaan untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan di samping memantau keadaan,” katanya.
Beliau berkata pihak Bomba turut memantau kawasan yang berpotensi dinaiki air seperti di Pelong, Chalok dan Gong Terap. – BERNAMA

