SEDIH… Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menganggap Belanjawan 2019 yang dibentang di Parlimen pada Jumaat adalah bajet untuk mempopularkan kerajaan dan bukan untuk rakyat.
Beliau secara umum menganggap bajet dibentang Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diubah suai daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu kerana asasnya sudah tersedia walaupun tidak ada yang menarik untuk rakyat.
Ketua pembangkang tersebut turut kesal kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) sengaja menggunakan ucapan Bajet 2019 masih berperangai seperti pembangkang apabila terus hentam dan beri gambaran buruk kepada imej BN.
“Ini tidak sepatutnya berlaku. Biarlah rakyat sendiri yang menilai belanjawan ini, sama ada hak dan keistimewaan mereka dipulangkan atau sebaliknya. Waktu akan menentukan,” ujar Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO.
Selain itu katanya, Bajet 2019 tidak ada sediakan garis panduan untuk wujud lebih banyak peluang kerja dan lebih sedih, tidak ada yang istimewa untuk rakyat marhaen, terutama bagi mengatasi isu kos sara hidup mereka.
“Inilah yang ingin ditunggu oleh rakyat, namun amat menghampakan. Bajet hanya sebut rancangan latihan dan bimbingan. Ia mengambil masa sedangkan rakyat mahu penyelesaian dalam jangka masa segera,” katanya.
Jelasnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional: “Banyak berkisar skim kesihatan dan dividen yang longgar. Ada yang boleh dianggap baik, khasnya penerima BR1M dan bantuan lain. Apapun, ia tidak menyeluruh dan hambar.
Namun beliau menerima baik berita mengenai pengguna pengangkutan awam walaupun ia lebih tertumpu kepada pengguna di tempat–tempat yang sedia ada sistem pengangkutan awam rel moden LRT dan MRT.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan dari mana datang dana RM314.5 bilion akan diperoleh jika kerajaan PH pula mendakwa konon hutang negara berjumlah RM1 trilion dan berkata: “Mana perkiraan fiskalnya?
“Walaupun ada kebaikan, seperti RM1.2 bilion untuk kemajuan Islam, tidak ada pengkhususan langsung bagi menarik dan tingkatkan semula pelaburan asing. Dari mana kita akan dapat hasil?” soal beliau. – Mynewshub.TV

