SINDIR… Adakah kejahilan, tamak kuasa dan ketiadaan fokus lebih baik daripada penyangak dan penyamun, soal Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
Beliau menimbulkan persoalan cepumas tersebut ketika merujuk pendapat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu program bicarawara anjuran akhbar Sinar Harian di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengatakan konon pemimpin PH yang sabotaj kerajaan PH kerana kejahilan, tamak kuasa dan ketiadaan fokus adalah lebih baik daripada penyangak dan penyamun yang curi duit rakyat.
“I beg to differ (saya mohon berbeza) dengan Tun. Jahil, tamak kuasa, ketiadaan fokus, penyangak dan penyamun adalah sama sahaja. Semuanya merosakkan. Mana boleh kata tamak kuasa itu pula lebih baik daripada penyamun.
“Orang tamak kuasa itulah yang akan menjadi maha penyamun atau maha zalim. Orang yang ketiadaan fokus itulah kerjanya nanti tidak ada lain sepanjang masa akan menjadi penyangak,” jelas Puad menyanggah hujah Mahathir.
Menerusi catatan dalam akaun sosial Facebook miliknya, beliau tidak pun menamakan mana-mana individu, namun bagi pengamat politik tempatan, istilah maha zalim itu jelas merujuk kepada imej Mahathir suatu ketika dahulu.
Umum maklum, ia tular digunakan pemimpin dan penyokong PH (ketika itu pihak pembangkang) selepas Mahathir biadab pecat Datuk Seri Anwar Ibrahim secara zalim pada 1998 daripada semua jawatan dalam kerajaan dan parti.
Malah, Mahathir turut dikutuk mereka sebagai Maha Firaun kerana corak sikap keras beliau segera bertindak balas terhadap musuh politiknya termasuk Anwar sendiri yang dihukum penjara hanya kerana konon melakukan liwat.
Mengulas lanjut, Puad berkata, kalau pemimpin jahil pun Mahathir kata boleh diterima, patutlah ‘orang kuatnya’ Datuk A Kadir Jasin mencadangkan jemaah menteri PH perlu disekolahkan semua, sinisnya lagi. – Mynewshub.TV

