GUA MUSANG – Jabatan Kerja Raya (JKR) Jajahan Gua Musang sentiasa memantau keadaan jalan raya di jajahan itu termasuk Jalan Gua Musang-Lojing bagi memastikan laluan yang melalui kawasan berbukit itu selamat digunakan semua kenderaan pada musim tengkujuh ini.
Jurutera JKR Jajahan Gua Musang Fadhlil Wafi Nordin berkata setakat ini pemantauan pihaknya mendapati kesemua jalan raya selamat digunakan walaupun telah mula berlaku hujan musim tengkujuh.
“Jika dikesan berlaku kejadian seperti cerun runtuh dan sebagainya JKR akan mengeluarkan notis peringatan segera supaya pengguna dapat mematuhi segala arahan bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Fadhlil Wafi diminta mengulas persiapan JKR bagi menghadapi musim tengkujuh yang kebiasaannya beberapa laluan seperti Jalan Gua Musang-Lojing berdepan dengan kejadian cerun bukit runtuh dan banjir lumpur.
Beliau berkata bagi beberapa lokasi yang dijangka berlaku tanah runtuh, pihaknya telah mengambil langkah tertentu untuk mengatasi kejadian berkenaan.
Namun begitu beliau menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. – BERNAMA

