TEMERLOH – Kerajaan Pahang mengarahkan pihak berkuasa Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Daerah Cameron Highlands supaya meningkatkan penguatkuasaan dan memantau sebarang pencerobohan haram di kawasan tanah tinggi itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ia bagi membolehkan pihak yang tidak bertanggungjawab itu dikenakan tindakan undang-undang sekali gus menghalang perkara itu daripada terus berlaku sehingga memusnahkan alam sekitar.
“Kerajaan negeri akan mengenakan tindakan undang-undang tegas dan tidak akan berkompromi dengan peneroka-peneroka haram ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Pahang bersama warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Semantan di Dewan Orang Ramai Kampung Paya Luas di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri Datuk Seri Norol Azali Sulaiman.
Baru-baru ini Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands mendakwa kebun haram dimusnahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam Ops Gading sebelum ini diteroka semula oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Satu kejadian tanah runtuh juga telah berlaku di Kampung Tiga, Terla, Cameron Highlands pada 14 Okt lepas yang mengakibatkan dua wanita dan seorang lelaki warga Myanmar maut. – BERNAMA

